Skip to main content

Dunia Bukan Lagi Tentang Kau Sahaja

Assalamualaykum wbt.
Aku ingin berkongsi sebuah kisah yang aku dengar dari Youtube sebentar tadi. Sebenarnya, tulisan di bawah ini dikira sebagai terjemahan daripada video berbahasa Inggeris itu, kerana itu sahaja yang aku mampu haha. Video perkongsian itu disampaikan oleh Sheikh Omar Suleiman, antara penceramah yang aku kagumi ilmu sirahnya. Link video akan aku kongsikan di bawah tulisan ini.

Aku sangat tersentuh dengan kisah ini jadi aku mengambil keputusan untuk menulis kisahnya disini dengan harapan, ramai yang tidak rajin buka link youtube yang aku kongsikan di Whatsapp itu boleh membacanya disini.

[Meninggalkan Arak kerana Allah]

Abu Mihjan Ats-Tsaqafi r.a adalah salah seorang sahabat pada zaman Nabi SAW yang sangat ketagih dengan arak. Kecintaannya pada arak itu sehinggakan dia menulis puisi tentang araknya. Dia juga pernah menulis di dalam wasiat kepada anak-anaknya bahawa sekiranya dia meninggal dunia kelak, rendamkan tulang-belulangnya di dalam arak supaya ia dapat menyerap arak itu. Abu Mihjan juga ada membuat Qasidah tentang arak. Begitu dasyat sekali cintanya kepada arak.

Apabila Abu Mihjan memeluk Islam, dia masih meminum arak kerana terlalu sukar baginya untuk meninggalkan tabiat itu. Walau bagaimanapun, Abu Mihjan adalah seorang yang bersungguh-sungguh dalam mengikuti Rasulullah SAW di medan perang, dia masih ingin bersama-sama dengan Ummah. Namun, sudah menjadi kebiasaan juga baginya untuk disebat setiap kali ditangkap sedang meminum arak. Inilah rutin yang bersambung sehingga ke Khilafah Abu Bakar r.a dan sehingga ke Khilafah Umar Al-Khattab r.a walaupun dirinya sudah sangat berusia.

Pada zaman Khilafah Umar Al-Khattab r.a, ummat Islam waktu itu akan bertempur dengan Parsi dalam perang Qadisiyyah. Waktu itu, Abu Mihjan dalam keadaan mabuk. Saad ibn Abi Waqgas, yang merupakan Panglima Perang Qadisiyyah terpaksa menyebat Abu Mihjan sekali lagi. Saat mereka hendak bergerak ke medan peperangan tersebut, Saad ibn Abi Waqqas menghukum Abu Mihjan dengan tidak mengizinkannya menyertai peperangan. Saad ibn Abi Waqqas berkata, "Kau akan dirantai sementara kami pergi berperang dalam Perang Qadisiyyah. Kau tidak boleh keluar dari sini, tidak boleh jihad menentang orang Parsi dan tidak boleh berkhidmat kepada ummah." Mendengar apa yang dikatakan Saad, Abu Mihjan menangis dan menangis tidak henti. Dia merayu kepada Saad, "Jangan halang aku untuk berkhidmat kepada Allah! Aku tahu aku berdosa, berilah aku peluang. Jangan halang aku untuk berhidmat kepada Allah. Aku tahu aku sememangnya ada masalah untuk meninggalkan arak tetapi jangan halang aku untuk berhidmat kepada Allah SWT!."

Saad ibn Abi Waqqas pun berkata, "Aku tidak mampu lagi untuk bertahan dengan kau, aku akan kembali kepada kau selepas selesai Perang Qadisiyyah ini." Beredarlah Saad ke medan perang, meninggalkan Abu Mihjan di sebuah bilik bersebelahan rumahnya. Sejurus sahaja Saad pergi, isteri Saad, iaitu Salmah r.ha terdengar satu tangisan yang sangat kuat datang dari arah bilik itu. Risau akan sesuatu yang tidak diingini berlaku, Salmah terus berlari ke bilik tadi untuk melihat apa yang sedang berlaku. Sampai sahaja di hadapan Abu Mihjan, Salmah bertanya kepadanya, "Kenapa kamu menangis? Apa yang berlaku?". Sekali lagi, dengan jawapan yang sama, Abu Mihjan membalas, "Jangan halang aku untuk berkhidmat kepada Allah SWT, tolong lepaskan aku dan biarkan aku berjihad bersama mereka."

"Bagaimana mungkin aku dapat melepaskan mu untuk menyertai yang lain sedangkan suamiku adalah panglima perang, dia telah mengikat mu. Apa jaminan kamu akan kembali semula sekiranya aku melepaskan mu?", kata Salmah.

"Aku bersumpah atas nama Allah, jika kau melepaskan aku, akan aku baluti wajahku, aku akan pergi berperang bersama-sama yang lain dan aku akan pulang ke sini. Aku akan ikat diriku semula dan aku tidak akan memberitahu sesiapa pun." Jawab Abu Mihjan.

Melihat kesungguhan dan keikhlasan Abu Mihjan, Salmah pun melepaskannya.

Lantas, Abu Mihjan pergi ke medan perang dan bertempur dengan berani sekali. Ketika itu, Saad yang sedang menyaksikan pertempuran itu, terkejut dengan ketangkasan seorang lelaki yang tidak kelihatan wajahnya. "Siapa lelaki itu?". Selesai sahaja pertempuran itu, ketika mana semua tentera-tentera muslim berkumpul, Saad tidak menjumpai lelaki itu. "Di manakah pahlawan yang menutup wajahnya tadi?", tanya Saad. Namun, tiada siapa yang menyahut panggilan Saad.

Pada ketika itu juga, Abu Mihjan kembali kepada Salmah, mengikat dirinya semula dan dia tidak memberitahu sesiapa pun.

Pulanglah Saad ibn Abi Waqqas ke rumah. Saad menceritakan kepada isterinya apa yang berlaku di medan perang tadi bahawa dia ternampak seorang lelaki dengan wajah yang berbalut bertempur dengan sangat berani namun apabila dia memanggil lelaki tersebut, tiada yang menjawab. Salmah pun kata, "Tahu siapa lelaki tadi? Dialah lelaki yang ditahan kamu itu, Abu Mihjan.".

Terkejut, Saad pun bertanya, "Bagaimanakah ia boleh terjadi sedangkan aku telah mengikatnya".
Dengan tenang, Salmah berkata, "Aku telah melepaskannya dan dia kembali"

Saad terus ke bilik di mana Abu Mihjan berada dan melihat Abu Mihjan sedang tercungap-cungap mengambil nafas. Badannya penuh dengan luka dan darah. Lantas, Saad ibn Abi Waqqas menangis dan memeluk Abu Mihjan dengan erat. Saad pun berkata, "Demi Allah, aku tidak akan menyebat kau lagi walaupun kau meminum arak, setelah melihat apa yang telah kau lakukan ini, aku tidak mungkin dapat menyebat kau lagi."

"Wahai Saad, demi Allah, aku tidak akan kembali meminum arak selamanya." kata Abu Mihjan sambil teresak-esak menangis." Dan sememangnya, Abu Mihjan tidak lagi meminum arak selepas itu.

Kenapa? Kenapa Abu Mihjan langsung berhenti meminum arak selepas kejadian ini?  Kerana dia sedar, ada sebab yang lebih besar dan penting daripada dirinya. Ada yang lebih penting daripada memikirnya dirinya sahaja. Dia sedar, dia tidak mempunyai masa untuk risau akan araknya, risau akan dosa dan perkara-perkara kecil lain dalam hidup. Ada ummah yang menunggunya. Dan, kita sebagai Ummah, ada Allah Azza wa Jal yang sedang menunggu kita.

Ibrah daripada Kisah Abu Mihjan ini adalah, kita sebagai manusia, memang tidak lari daripada doa. Ada dikalangan kita yang ketagih dengan pornografi ada yang tidak habis-habis melakukan dosa tetapi pada masa yang sama kita masih mencintai Allah dan Rasulullah SAW. Apa yang menjadi masalah adalah, kita tidak mengizinkan cinta kita kepada Allah dan Rasul itu untuk menguasai diri kita. Kita perlu untuk hentikan tabiat buruk, tolak tabiat itu ke tepi. Allah mahu kita mengikut NabiNya, para Tabiin dan salihin (Ittiba'), itu sahaja. Di dalam kisah Abu Mihjan, dia telah mula menyedarinya apabila dia ditahan daripada pergi berperang, waktu itu dia sedar cintanya kepada Allah itu lebih besar dan sangat sakit jiwanya apabila cintanya itu dihalang. Apalah sangat nak dibandingkan cinta kepada arak dengan cinta kepada Allah dan Rasulullah saw. Jadi, dengan cinta kepada Allah itulah telah memberhentikannya daripada meminum arak.

Sekian.

Link Video : https://www.youtube.com/watch?v=-Ld43KbRcrE


Comments

Popular posts from this blog

Sumpitan Glamping, Lenggong, Perak

Assalamualaykum wbt. Akhirnya, ada kekuatan yang tak dapat diabaikan untuk kemaskini blog ini haha Hari ini sis nak kongsikan pengalaman 'Camping' di tempat baru! Tempat ini baru dibuka pada tahun ini dan dinamakan sebagai  Sumpitan Glamping . Glamping ini bertempat di  Daerah Lenggong, Perak Darul Rizuan . Mungkin ada yang lupa, Lenggong ini adalah kawasan Prasejarah yang dijaga tau! Ingat tak Perak Man? Lelaki prasejarah yang dijumpai tulang belulang badannya yang disebut dalam buku teks sejarah sekolah menengah? Ya, sinilah tempat asalnya.  Kepada yang meminati permandangan perkampungan dan hutan, korang mesti akan seronok datang sini. Selain daripada adanya banyak  sungai , Lenggong juga ada banyak  Gua  tau! Gua-gua ini siap boleh di'explore'. Tetapi perlu pandai-pandai hubungi ejen-ejen tempatan lah untuk bantu bimbing kita sepanjang 'exploration' dalam gua nanti.  Air terjun ? Ada! Tetapi sis tak pergi lah, tak larat nak mendaki haha Harga penginapan di S

Poem: If I May

  Title: If I May Theme: Spiritual Reminder   If I may, I need you to tell me, That the world is temporary, And less people are wary, About the end that they will carry.   If I may, Remind me, please, Whether in hardship or ease, And no matter what I’ve seized, It’s only Him I have to please.   If I may, Give me a guarantee, For all the ambiguities, And for all the uncertainties, He’s always here, providing clarities.      If I may, Let it be known, For happiness to be owned, Live simply do not moan, And that’s the biggest don’t.   If I may, Help my thought to mend, That failure is not the end, Put trust in His hand, For I’ll be guided till the very end. - Muneera, 21st June 2018

Si Kecil Asykin

Esok, saya perlu berada di negeri jiran iaitu Perak. Kami di Hidayah Centre Foundation Wilayah Utara akan mengadakan sebuah program Ziarah Mesra Kampung Orang Asal. Saya akan ke sana menaiki Kereta Api dari Butterworth.  Saya singgah di masjid berdekatan dengan Penang Sentral. Memandangkan saya tiba 2 setengah jam lebih awal,  saya fikir baik saya berehat di dalam masjid sementara menunggu masuk waktu Asar.  Tiba-tiba, muncul seorang kanak-kanak dari tandas di sebelah kiri saya.  “Kakak nak sembahyang?,” tanya dia. “Dak, kak nak tunggu masuk waktu Asaq dulu”, jawab saya dengan senyuman. “Kamu buat apa sini?” tanya saya.  “Saya nak sembahyang”, katanya sambil menghadiahkan senyuman yang paling manis. Saya masuk ke ruangan sembahyang. Mengekorinya. Suis-suis lampu dan kipas dibuka satu persatu. Langsir dibetul-betulkan. Lagak AJK masjid. Saya pula sibuk mencari soket untuk mengecas telefon pintar saya. “Adik sorang ja ka?” tanya saya. “Ha sorang. Abang tak dak, abang dalam penjara kena t