Esok, saya perlu berada di negeri jiran iaitu Perak. Kami di Hidayah Centre Foundation Wilayah Utara akan mengadakan sebuah program Ziarah Mesra Kampung Orang Asal. Saya akan ke sana menaiki Kereta Api dari Butterworth.
Saya singgah di masjid berdekatan dengan Penang Sentral. Memandangkan saya tiba 2 setengah jam lebih awal, saya fikir baik saya berehat di dalam masjid sementara menunggu masuk waktu Asar.
Tiba-tiba, muncul seorang kanak-kanak dari tandas di sebelah kiri saya.
“Kakak nak sembahyang?,” tanya dia.
“Dak, kak nak tunggu masuk waktu Asaq dulu”, jawab saya dengan senyuman. “Kamu buat apa sini?” tanya saya.
“Saya nak sembahyang”, katanya sambil menghadiahkan senyuman yang paling manis.
Saya masuk ke ruangan sembahyang. Mengekorinya.
Suis-suis lampu dan kipas dibuka satu persatu. Langsir dibetul-betulkan. Lagak AJK masjid. Saya pula sibuk mencari soket untuk mengecas telefon pintar saya.
“Adik sorang ja ka?” tanya saya.
“Ha sorang. Abang tak dak, abang dalam penjara kena tangkap,” jawabnya seperti tidak ada yang luar biasa.
“Kakak kerja apa?”
“Kak cikgu,” balas saya.
Dia terkejut sambil tersipu-sipu malu. Segan.
“Mak kamu kerja apa?” tanya saya pula.
“Mak minta sedekah,” katanya.
“Bapa kamu tak ada?” saya semakin mahu tahu tentang dirinya.
“Bapa pun kat dalam. Penjara,” jawabnya.
“Ohh..,” saya terdiam.
Selepas itu, saya tanya pula tentang adik-beradiknya yang lain. Katanya, asalnya mereka lima beradik. Dua daripada mereka telah meninggal dunia. Tinggal seorang abang, seorang kakak yang sekarang berada di dalam asrama sekolah dan dirinya sendiri.
Saya letak telefon pintar di sebelah langsung baring. Niat mahu lelap sebentar. Kekurangan tenaga memandangkan pagi tadi saya mengajar di sekolah.
Saya menjeling ke arah kanak-kanak tadi, dia sedang menyarungkan telekung dan bersiap-siap mahu sembahyang. Saya penjamkan mata semula.
Tiba-tiba, terdengar bunyi seseorang mengaji. Tidak sampai 5 minit saya pejamkan mata, sudah kedengaran seperti ada orang lain masuk ke ruangan solat.
Saya mengangkat sedikit kepala untuk melihat siapa gerangan yang mengaji itu. Eh rupanya kanak-kanak tadi.
“Yaa Siin…”
“Yaa Yaa Siin”
“Yaa… Siin”
Tiga ke empat kali dia mengulang ayat pertama surah Yasin. Barangkali tidak mahir membaca Al Quran lagi.
“Adik nak baca Quran ka tu?” tanya saya.
Dia mengangguk besar. Penuh semangat.
Saya pun bangun dan memanggilnya duduk bersama saya.
“Jom kita baca sama-sama nak?”
“Nak!” jawabnya teruja.
Kami pun duduk menghadap wajah masing-masing.
Memandangkan dirinya masih belum boleh membaca dan lidahnya sedikit kaku untuk menyebut huruf-huruf hijaiyah. Saya membimbingnya membaca Yasin Ayat 1-7 sahaja berserta terjemahannya. Satu perkataan demi satu perkataan. Tulisan Bahasa melayu pun belum dapat dibacanya.
Di awal surah Yasin, Allah menceritakan tentang Al Quran sebagai peringatan yang diturunkan kepada Nabi Muhammad. Saya pun menceritakan padanya tentang Al Quran, Nabi Muhammad dan tentang dosa. Tekun dia mendengarnya.
Sebagai selingan, saya bertanya tentang nama, umur dan sekolahnya. Namanya Asykin (sebut: Asyikin), umur 9 tahun dan sedang bersekolah.
Lega saya dengar. Walaupun hakikatnya dia masih belum mahir membaca, sekurang-kurangnya dia pergi ke sekolah. Boleh belajar adab dan asas-asas hidup.
Habis sahaja penerangan saya, dia tanya, “Esok ada lagi?”
“Eh esok tak dak dah dik. Kak pi perak. Balik hari ahad. Tu pun tak tau mai masjid ni balik ke dak,” jawab saya.
Senyuman dia pudar.
Dia bangun dari duduknya, mengheret telekung tadi ke pinggir ruangan solat dan meletakkannya di dalam almari yang disediakan.
Sebelum keluar dari pintu masjid itu, dia menoleh ke arah saya dan berkata, “Kakak, nanti masa keluar tutup semua suis”.
“Okay dik!”
“Bye kak!” Dan itu senyuman terakhir daripada Asykin buat saya sebelum kami berpisah.
Pertemuan begini sentiasa hadir apabila saya sedang bermusafir. Kerana itu, walaupun berdebar disebabkan oleh ketidakpastian yang bakal
mendatang diluar rutin, saya tetap suka keluar bermusafir.
Pertemuan dengan kanak-kanak ini menundukkan saya kepada Allah SWT.
Dalam fikiran saya, Maha Penyayang Allah, Allah jaga anak ini. Melihat pada gayanya tadi, dia seperti sudah biasa berjalan berseorangan ke sana ke sini.
Maha Mengetahui Allah, apalah yang anak ini fikir yang membuatkan dia ambil buku Yasin tadi untuk dibaca sedangkan dia tak mampu membaca. Hanya disebut-sebut ayat pertama Surah Yasin. Mungkin dia sudah terbiasa masuk masjid dan melihat jemaah masjid membaca Yasin atau mungkin dia dengar daripada maknya.
Andai suasana dan ekonomi keluarganya lebih baik, saya yakin dia mampu menjadi anak solehah yang hebat sekiranya dia terus setia dengan amal-amal islami di masjid seperti hari ini.
Semoga Allah jaga dia.😄
Comments
Post a Comment